Kemudahan dan Kelengkapan Sekolah_Menengah_Sains_Raja_Tun_Azlan_Shah

Kemudahan Asas

Bangunan Pembelajaran dan Pentadbiran

Sekolah ini mempunyai 3 blok utama yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik guru, makmal sains dan bahasa, pusat sumber, bilik darjah, dan tandas. Blok X, Y dan Z ini mempunyai 3 tingkat dan penghubung dari satu blok ke blok yang lain.

Terdapat juga bangunan kejuruteraan yang terdiri daripada studio AutoCAD dan bengkel bagi pelajar aliran sains dan teknik mempelajari mata pelajaran kejuruteraan. Terdapat juga blok bagi bengkel kemahiran hidup bagi pelajar menengah rendah mempelajari mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi

Asrama

SERATAS ialah sebuah sekolah berasrama penuh iaitu pelajar dikehendaki tinggal di asrama yang disediakan. Sekolah ini mempunyai 7 blok asrama iaitu 4 blok asrama lelaki dan 3 blok asrama perempuan. Blok tersebut dinamakan Blok A, B, C dan D bagi lelaki dan Blok E, F dan G bagi perempuan. Blok-blok ini pernah dinamakan sempena nama tokoh islam seperti Ibnu Sina dan Siti Aisyah. Kini, asrama dibahagikan mengikut empat rumah sukan iaitu rumah Rajawali (Biru), Enggang (Hijau),Helang (Kuning), dan Garuda (Merah).

Asrama ini boleh menempatkan 750 orang pelajar dan 6 unit keluarga bagi warden. Terdapat juga bilik rekreasi, bilik sakit, klinik pergigian, dan bilik belajar. Semua pelajar terikat dengan peraturan 'Arahan Tatatertib Sekolah' yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua aktiviti pelajar dikawal oleh pihak pentadbiran sekolah.

Dewan Makan dan Kantin

Dewan makan sekolah ini terletak di antara asrama lelaki dan perempuan yang mengadap ke Astroturf dan membelakangkan kaki bukit larut. Dewan makan akan digunakan bagi sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan makan lewat malam bagi hari persekolahan dan bagi waktu cuti. Dewan makan ini juga boleh menampung palajar seramai 750 orang pada satu-satu masa sekiranya terdapat majlis rasmi.

Kantin pula terletak di bangunan akademik yang terletak bersebelahan dewan besar.

Dewan Besar

Dewan Besar SERATAS menjadi kegunaan rasmi sekolah seperti perhimpunan rasmi, sambutan rasmi (seperti kemerdekaan atau maulud nabi), kegiatan pelajar dan peperiksaan umum (PT3 dan SPM). Dewan ini mampu menempatkan 800 pelajar bersama guru dan kakitangan pada satu-satu masa. Dewan ini juga turut boleh digunakan oleh orang luar atas kebenaran pihak sekolah.

Masjid

Masjid As-Syakirin SERATAS ialah kemudahan bagi pelajar Islam untuk menunaikan solat berjemaah memandangkan pelajarnya dipupuk untuk menunaikan solat fardu berjemaah setiap waktu. Masjid ini dibina pada 19 April 1989. Terdapat juga aktiviti keagamaan lain yang dilakukan di masjid seperti marhaban dan tilawah al-Quran. Bahagian belakang luar masjid turut digunakan bagi aktiviti memasak dan korban.

Fail:Bangunan Seratas.jpgBangunan akademik SERATAS

Kemudahan Lain

Pusat Sumber

Pusat Sumber menyediakan pelbagai bahan rujukan dan kemudahan kepada pelajar dan staf sekolah. Terdapat lebih daripada 27,000 buah buku didapati di situ untuk kegunaan pengunjung. Terdapat juga koleksi pita video dan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran bagi kemudahan pelajar dan guru. Selain pusat sumber, terdapat juga bilik seminar dan bilik audio visual (pandang dengar) yang menjadi sebahagian daripada kemudahan Pusat Sumber tersebut.

Pusat Komputer

Pusat ini menyediakan perkhidmatan komputer untuk kegunaan pentadbiran, staf akademik dan juga pelajar sekolah. Para guru juga digalakkan menggunakan komputer sebagai kaedah pengajaran dalam merealisasikan sekolah bestari dan juga untuk kajian R&D.

Makmal Bahasa

Makmal ini digunakan untuk mengajar bahasa di sekolah ini terutama Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Perancis, Bahasa Arab dan Bahasa Jepun. Makmal bahasa ini turut boleh digunakan bagi tujuan perjumpaan persatuan ko-kurikulum bagi aktiviti mereka dari semasa ke semasa.

Koperasi Sekolah

Koperasi ini dibuka pada 18 April 1984 dan menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit koperasi, bank koperasi dan pemborong.

Semua pelajar ialah ahli koperasi sekolah dengan harapan dapat menanamkan sikap berjimat cermat dan kerjasama selain menguruskan urus niaga dengan sendiri. Dividen tahunan akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi.

Kemudahan Sukan

SERATAS turut mempunyai pelbagai kemudahan sukan seperti Astroturf, gimnasium, astaka, padang, gelanggang bola keranjang dan bola tampar, dan dewan besar (gelanggang badminton).

Pengangkutan

Pengangkutan disediakan di sekolah ini iaitu sebuah bas mini dan 3 buah bas untuk kemudahan pelajar dan rombongan sekolah ke luar sekolah.

Tempat Tinggal Guru dan Pekerja

Sekolah ini turut menyediakan kuarters bagi guru dan pekerja untuk memudahkan mereka berulang-alik ke sekolah. Sekolah ini juga menyediakan rumah bagi pengetua dan penolong kanan.